Isu Aurat Wanita dan Purdah:Sedikit Pencerahan

1. Selalu kita mendengar perbalahan dalam kalangan masyarakat mengenai aurat wanita. Pada masa kini ramai wanita Islam yang dilihat tidak menutup aurat. Namun itu bukan isu yang ingin dibahaskan di sini kerana telah banyak kuliah agama yang membincangkamkan isu aurat wanita dan mereka (wanita Islam) sudah semestinya tahu tentang batas aurat mereka sendiri. Saya bukanlah sesiapa untuk menegur mereka kerana itu merupakan hak peribadi mereka sendiri.

2. Jika membicarakan tentang aurat atau mana-mana hukum dalam Islam,maka kita tidak dapat lari dari 3 rujukan utama umat Islam iaitu Al-Quran,Hadis dan Ijma' Ulama. Mengenai isu aurat ini telah banyak kali disebut dalam Quran dan Hadis.Misalnya dalam surah Al Ahzab ayat 59:Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

3. Seperti yang kita tahu Islam merupakan agama yang memudahkan penganutnya. Dalam Islam ada rukhsah buat kaum wanita iaitu membolehkan membuka sebahagian aurat (rambut) kepada orang tua dan kaum wanita yang tua untuk mendedahkan bahagian rambut kerana tiada keinginan nafsu lagi dalam diri orang-orang tua.Dalam surah An Nur ayat 31,Allah menerangkan: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

4. Isu hijab ini merupakan isu penting yang berlaku di setiap negara.Kita tidak perlu melenting kerana itu adalah hak seorang individu dan jika dia berdegil untuk tidak menutup aurat sudah semestinya dia akan dihukum di akhirat. Pihak yang berhak menegur seorang wanita yang tidak menutup aurat mengikut Quran dan Hadis hanya bapa,suami,abang dan keluarga wanita terbabit. Kita sebagai orang luar perlu mengikut saranan Al Quran ketika berhadapan dengan orang yang tidak berhijab iaitu dengan menundukkan pandangan.Itu yang Quran gesa kita untuk lakukan bukannya menghina,mencaci dan memburukkan peribadi wanita yang tidak berhijab. Dalam Quran surah An Nur ayat 31: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

5. Kita sebagai orang Islam perlulah mengikut suruhan Al Quran dalam menangani isu hijab ini.Al Quran dan Nabi menerangkan bahawa aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Namun ada segelintir yang mengenakan purdah. Tiada kesalahan untuk melakukan sedemikian.Namun lihatlah kembali sebab kenapa orang Arab memakai purdah.Satu-satu sebabnya ialah kerana demografi arab yang berpasir dan purdah adalah untuk menutup hidung  mereka dari terkena pasir ketika berlaku ribut pasir di Arab. Purdah bukan satu tuntutan dan mereka yang tidak bepurdah tidak melakukan sebarang dosa pada agama. Jikalau keadaan Malaysia yang panas dan dengan bepurdah akan menambahkan lagi rasa kepanasan maka tidak perlulah untuk bepurdah. Purdah hanya satu 'culture' orang Arab.Yang perlu diketahui di sini ialah Malaysia tiada ribut pasir.Tidak ada satu ayat Al Quran pun yang menggesa wanita Islam untuk bepurdah.Jadi mengapa lakukan sesuatu yang tidak termaktub dalam Al Quran? Adakah kerana kita terikut budaya orang Arab dan telah diasimilasi oleh Arab?

Comments

Popular Posts